Friday, December 17, 2010

Cerpen: Janji 2 dunia - Chapter 2




"Eh, dah makin lewat ni, jom lah pulang" ajak Kei selamba.

Suasana di dalam densha itu agak hening daripada biasa. Dibenaknya, kembali memikirkan apa yang diterangkan Yuki di restoran tadi.

"Mungkin aku patut melupakannya...." bisik hati kecil Kei.

Fikirannya makin melayang jauh. Jauh dari Jepun ke Malaysia.

"Mungkin kita tak ditakdirkan bersama..." Imej seseorang semakin jelas terpancar di hati kecilnya, jiwanya sedikit pilu.

"Kei? Kenapa ni? Jauhnya termenung?" teguran Yuki memecahkan golak perasaan lelaki yang sibuk mengupas peristiwa silamnya.

"Oh, takde apa-apa. Cuma memikirkan cerita donburi tadi." suaranya sedikit suram.

"Awak percaya ke apa yang saya cerita tadi tu?"

"Awak rasa?" sambil menarik muka, lagaknya seperti menyembunyikan sesuatu.

"Hmm. Mak saya cakap, kalau orang tu fikir banyak pasal orang tu, maksudnya ada dua kemungkinan."

"Baiklah cik detektif, apa kemungkinannya?"

"Haha, saya sendiri pun tak pasti sebenarnya. Tapi, kemungkinannya, awak suka cerita dongeng, ataupun, awak sedang memikirkan seseorang. Betul tak?"

"Tak adalah...."

"Eee, tak pandai langsung nak tipuuuuu" usik Yuki, manja.

Gurauan manja Yuki memadamkan rindu lama lelaki sentimental itu.

"Yuki, sebenarnya..."

"Eh, tengok kat luar, ada bintang! Wah! Jarang sekali dapat tengok bintang sekarang ya? Tokyo pula semakin lama semakin penuh dengan bangunan tinggi-tinggi." ujar Yuki, riang, sambil melemparkan pandangannya jauh ke luar. Matanya liar memandang ke sana ke sini. Lagaknya seperti kanak-kanak kecil yang sibuk menghayati keindahan alam/

Telatah Yuki memadamkan rindu dendam yang semakin membuak-buak. Memori lalu seperti terbang kembali ke dalam ingatan Kei. Memori yang sukar untuk dilupakannya sehingga ke hari ini. Baginya, seakan melihat bayangan si dia kembali. Kei hanya mampu menarik nafas panjang, dan melayan karenah Yuki sambil tersenyum.

Malam itu, lelaki itu menjadi bingung. Kebiasaannya, tangannya rancak menari-nari di atas papan kekunci komputer membuat kerja, tapi malam itu agak berlainan. Di Youtube, terpampang lagu Robinson yang dipilihnya tadi untuk dibuat teman.  

"Maaf Kei, Dilla dah jadi tunang orang lain..." terngiang-ngiang di telinganya. Memori itu sudah hampir 2 tahun berlalu. Semenjak itu Kei membuat keputusan untuk meninggalkan Malaysia dan mencari ketenangan di Jepun. Baginya, dirinya di negara asing, namun hatinya masih dimiliki seseorang. Ibarat Encik Asimo.

-Ceit, cerita dah jadi jiwang merapu-rapu (-_-")

Milo panas di atas meja kerja dihirupnya perlahan-lahan. Pandangannya ditumpu ke luar tingkap apartment kecil itu. Jelas salji masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Terus dicapai telefon bimbit.

Dah tidur ke?

Ditenungnya ayat yang ditaip tadi sebentar, send!

Teet Teet!

Masih termenung jauh ke, encik jurutera? Saya baru nak tidur ni...

Tak la. Tengah fikir nak mimpi apa malam ni. Haha

Heh, loyar buruk jugak awak ni ye? Ada apa-apa masalah ke? Kalau tak keberatan saya boleh tumpang dengar...

Takde, cuma mainan perasaan ni. Mood swing mungkin? Lol

Lameeee... Haha, kalau takut mainan perasaan, awak tengok je la salji kat luar tu...

Kei tersengih sendiri. Ada juga orang Jepun yang sudi jadi peneman.

Itulah, kalau boleh, saya nak perasaan rindu ni bersifat sementara macam salji kat luar tu. Turun sekejap, lepas tu bila panas, cair dan menghilang...

Haha, menarik juga. Tapi saya rasa awak terlupa satu perkara lagi.

Terlupa sesuatu? Terlupa apa?

Sms berhenti. Lama Kei menunggu tapi tiada jawapan. Kalau ikut hati, mahu saja dia meronta-ronta sendiri. Sejam kemudian, perlahan-lahan Kei berbaring di atas katil. Matanya dipaksa untuk tidak terlelap. Hatinya masih mahu menunggu jawapan.

"Dah tidur agaknya ni..."

Teet Teet!

Salji turun memang sekejap, bila panas nanti, memang salji akan cair dan menghilang. Tapi, awak terlupa yang sebelum cair dan hilang, salji akan meliputi semua benda dan hasilnya, satu pemandangan yang indah. Salji itu memang bersifat sementara, tapi mampu meninggalkan kesan kekal kepada orang ramai yang melihatnya. Begitu juga perasaan, walaupun  perasaan itu sebentar, tapi pengajaran yang dibawanya kekal. Perasaan itu akan menjadikan kamu orang yang lebih matang, lebih kuat dan lebih terbuka. Cubalah lupakan tapi hargailah ia. Bersyukurlah dengan anugerah perasaan! Oyasumi nasai :p

Malam itu, terpampang senyuman di wajah seorang lelaki yang sedang enak bermimpi. 

No comments:

Post a Comment